Kawan-kawan, ada kenal tak dengan tumbuhan ini, memang dari keluarga cendawan, biasanya di tempat atau di kampung aku ia dipanggil cendawan busut. Di sini saya selitkan sedikit info tentang tumbuhan ini.
CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp)
merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar
dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada
kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai. Saya memang kenal akan cendawan
busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang
mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit. Memang enak dan sedap cendawan
busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup
cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan
cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di
jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai
kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis
diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian
dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan
anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai. Jenis yang
terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa.
Cendawan
busut hanya didapati dikawasan ladang sawit, ladang getah, dalam hutan
dan kawasan belukar yang bebas dari sebarang jesan racun dan terdapat
koloni anai-anai (Dari Spesis Microtermes atau Spesis Odototermes)
dikawasan persekitaran tersebut. Beberapa perkara dan fakta mengenai
cendawan busut yang saya faham adalah keujudannya sering berlaku
selepas hujan dalam cuaca agak lembab dan ada busut dari koloni
anai-anai berdekatan. Lazim juga saya jumpa yang cendawan ini tumbuh
diatas busut anai-anai atau sekitarnya dan menghasilkan bau atau aroma
yang kuat. Cendawan ini tumbuh secara berkoloni atau berkelompok di
suatu lokasi sahaja dan walau pun puas kita tinjau kawasan lain di kebun
tidak pun akan jumpa. Selalunya semasa berjalan dibawah pokok getah
untuk aktiviti menoreh getah, kalau ada cendawan busut boleh diketahui
dengan bau yang kuat atau kita ternampak dengan mata sendiri. Bentuk cendawan busut adalah berbentuk 'Pilleus' iaitu ada batang dan tudung.
Pernah
kita dengar ada orang sakit perut malahan ada kes membawa maut setelah
mereka makan cendawan busut. Spesis-spesis ini juga tumbuh dikawasan yang mungkin sesuai untuk
cendawan busut pernah di dapati. Kalau dilihat dari segi fizikal, ianya
agak serupa apa lagi kalau kita kurang ariff tentang cendawan ini,
memang orang akan anggap spesis cendawan tersebut sama dengan cendawan
busut tetapi hakikatnya ia adalah cendawan beracun. Saya ingin ulangi
akan petua hendak pastikan bahawa yang kita tuai sebagai cendawan busut,
nasihat saya berasaskan kepada 3 perkara asas yang perlu diingati
iaitu baunya yang kuat, ada serangga atau ulat yang makan dan serangga
tidak mati (sentiasa menghurungi) dan cendawan busut ada ciri mempunyai akar yang agak panjang kedalam tanah.
Cendawan
busut boleh di tuai dengan cara mencabut dengan tangan atau gunakan
pisau tajam memotong pangkal cendawan . Kemudian dikumpulkan kedalam
baldi atau bekas besen yang bersih dan buang tanah yang melekat. Ketika
mencabut cendawan dari permukaan tanah buat dengan teliti dan hati-hati
agar cendawan tidak patah atau perdunya tertinggal dalam tanah.
Bersihkan cendawan busut dari kekotoran tanah dan basuh sehingga bersih.
Potong cendawan busut tersebut mengikut urat ari dan jika bersih ianya
boleh mula di masak. Pastikan jangan makan cendawan busut mentah
ditakuti ada kesan beracun atau sebagainya. Saya paling suka masak sup
cendawan busut atau cendawan busut masak lada hitam atau tumis dengan cili padi.
Cendawan busut mengandungi antioksidan yang banyak dan baik untuk
kesihatan. Enak dimakan dengan nasi panas selepas dimasak ketika perut
lapar.