Thursday, November 11, 2010

Endau - Rompin National Park

Taman Negara Endau-Rompin merangkumi kawasan seluas lebih kurang 80,000 hektar yang mengandungi kekayaan tumbuhan dan haiwan eksotik termasuk kawasan takungan air Sungai Endau dan Sungai Rompin di mana taman negara ini mendapat namanya melalui nama kedua-dua sungai ini. Pintu masuk ke taman negara ini melalui sebuah perkampungan Orang Asli.

Walaupun telah banyak dipengaruhi dunia moden, penduduk di perkampungan ini masih lagi mengamalkan cara hidup lama seperti berburu dan mengumpul makanan di hutan. Mereka juga mempunyai pelbagai cerita dan legenda berkenaan hutan ini yang telah diperturunkan dari generasi ke generasi.

Anda boleh berkhemah, meneroka hutan, menaiki sampan, menyusur jeram, meneroka gua, mendaki gunung, memerhati burung dan berenang di dalam taman negara yang menakjubkan ini. Taman Negara ini mempunyai spesis burung, haiwan mamalia, katak, serangga dan pelbagai jenis bunga orkid yang eksotik, tumbuhan herba yang boleh dijadikan ubat dan pelbagai jenis pokok.




Malahan, setiap kali kumpulan kajiselidik sains pergi menjalankan ekspedisi ke Endau-Rompin, mereka pasti menemui spesis yang baru!Dalam usianya yang lebih dari 130 juta tahun, hutan ini mengandungi tumbuhan dan haiwan yang jarang ditemui yang kebanyakannya tidak terdapat di kawasan tropika yang lain.

Antara spesis yang paling utama ialah Badak Sumbu Sumatera (Sumatran Rhinoceros). Penerokaan ke dalam hutan ini membolehkan pelawat melihat lotong, monyet, ungka, gajah, rusa, tapir dan kadang-kala harimau bintang. Pelawat yang gemar mengembara dan meneroka hutan dan sungai terdapat beberapa buah jeram dan air terjun di sini.

Bagi melindungi taman negara ini dari sebarang pencemaran, hanya tempat-tempat tertentu dibuka kepada pelawat untuk tujuan aktiviti eko-pelancongan. Pelawat perlu mendapatkan permit dari Johor National Park Corporation sebelum dibenarkan masuk ke dalam taman negara ini.

Taman negara ini ditutup semasa musim hujan (November hingga Mac). Sila teliti syarat dan peraturan taman negara sebelum masuk ke dalam hutan.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...