Thursday, March 29, 2012

Kes Terpencil Atau Apa?

Sejak kebelakangan ini, ada beberapa kes yang berlaku di dalam pejabat aku, salah satunya yang agak kritikal juga adalah kes kecurian. Seingat aku perkara ini telah lama berlalu. Peristiwa terakhir yang aku ingat ada seorang staff yang kehilangan sebuah komputer riba. Mungkin salah belliau sendiri kerana meletakkan komputer tersebut di dalam laci meja sewaktu cuti hujung minggu.

Baru-baru ini, beberapa orang staff telah kehilangan sejumlah wang. Siapa yang bersalah? Tuan punya wang tersebut juga bersalah kerana meletakkan beg tangan mereka secara terbuka dan memudahkan berlakunya kecurian.


Aku tidak mempersalahkan sepenuhnya terhadap tuan punya barang tersebut. Mungkin kerana memiliki kepercayaan yang tinggi terhadap keselamatan yang ada di dalam pejabat atau mungkin atas dasar percaya sesama kakikatangan membuatkan mereka cuai, dan akhirnya berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Kes pertama, berlaku pada sahabat aku sendiri. Di mana beliau meletakkan beg tangannya di ruang berdekatan dengan meja beliau. Pada umumnya, walaupun dalam keadaan waktu rehat tengahari, di dalam pejabat tersebut tidak pernah kosong, dan sentiasa ada kakitangan yang masih melakukan tugas-tugas mereka. Oleh sebab itu, Keselamatan itu agak tinggi juga kerana kawasan tersebut memang sentiasa dilihat dan terletak dalam kawasan yang terbuka. Tetapi perkara itu tidak menghalang kejadian itu terus berlaku. Kesedihan diluahkan kepada aku. apa yang mampu aku katakan hanyalah "bersabar".

Kes Kedua, berlaku kepada seorang kakak yang umurnya sebaya dengan ibu aku. Aku tidak dapat cerita beliau secara terperinci, tetapi beliau menyatakan bahawa beliau juga kehilangan sejumlah wang. Dan lokasi tempat beliau (meja) teramatlah terang dan nyata. kerana semua sudut di dalam pejabat tersebut pasti akan dapat melihat kawasan meja beliau dengan amat jelas sekali. Dan kejadian tersebut terus juga berlaku. Hebat juga orang yang melakukannya.


Kes ketiga, "hermmm......" beliau juga menyatakan dan meluahkan bahawa beliau ini juga kehilangan wang. Apa yang aku nak cakap di sini, aku tidak percaya dengan beliau kerana selama ini aku hanya melihat apa yang dia lakukan semua nya "propa".

Tetapi, walau terdesak mana juga. tidak seharusnya pesalah itu melakukan perkara tersebut. Kerana ia boleh menjejaskan status sesebuah pejabat. Dan apa yang pesalah itu lakukan hanyalah satu penganiayaan terhadap rakan-rakan sepejabat sendiri. yang mana mereka juga memerlukan wang diambil itu untuk urusan mereka sendiri. 

Sesusah mana masalah yang dialami. mencuri bukan satu jalan penyelesaian, dan hanya menyusahkan orang lain sahaja. boleh sahaja pesalah itu menyatakan untuk meminjam sejumlah wang. Hati lain-lain, tak tahu nak cakap apa. untuk melakukan pertuduhan juga tidak punya bukti yang kukuh, oleh itu kes itu dianggap sebagai kes terpendam.

Thursday, March 22, 2012

Permainan Konda Kondi

Aku pernah main permainan ini masa aku sekolah dahulu (sekolah rendah) tetapi tidak selalu permainan ini menjadi pilihan kami sewaktu budak-budak dahulu, mengapa? aku tidak pasti tentang perkara itu. Di waktu sekolah dulu, permainan ini cikgu aku yang ajar semasa kelas jasmani. jadinya bukan permainan favarout lah, pada pendapat aku pula, permainan ini seronok untuk dimainkan bersama, malangnya aku telah pun menjangkau umur 30 tahun, dalam umur sebegini, ada pula kawan-kawan yang mengajaknyer? baik lah mereka bersama family di rumah atau bermain bolah sepak.
 
Jom kita kupas sedikit tentang permainan ini.


 
Konda-kondi juga dikenali sebagai Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang.

Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

Undian secara ‘wan to som’ dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.


Permainan Pertama
Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.

Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.


Permainan Kedua
Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.

Permainan Ketiga
Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

Wednesday, March 7, 2012

Calon Isteri Mengikut Islam


Di dalam Islam sendiri mempunyai panduan dalam memilih seorang isteri yang baik. 

Mungkin Di sini aku boleh kongsikan dan juga dapat mengingatkan aku serta menjadikannya sebagai panduan bagi diri aku sendiri. Antaranya,


1. Agama.

Ciri pertama yang penting ialah agama. Allah berfirman dengan membuat perbandingan: 

Sesungguhnya seorang hamba wanita yang beriman lebih baik daripada wanita kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu.” 
[al-Baqarah 2:221]

Dalam perbandingan di atas, Allah menerangkan bahawa seorang wanita yang berstatus rendah, amat rendah sehingga ke tahap budak hamba, adalah lebih baik asalkan dia beriman kepada Allah (mukminat). Justeru yang membezakan ciri baik dan buruk bukanlah kecantikan atau daya tarikan, tetapi nilai agama seorang wanita.

Perhatikan juga bahawa Allah tidak menyebut wanita Islam (Muslimat) tetapi menyebut wanita beriman (Mukminat). Ini kerana tahap seorang Mukminat lebih tinggi dari tahap seorang Muslimat. Maka untuk ciri pertama ini, ciri isteri pilihan bukanlah sekadar muslimat yang biasa-biasa tetapi muslimat yang memiliki ilmu agama, beriman dengan teguh dan menterjemahkan ilmu dan keimanannya kepada amal shalih sehari-harian.

Berkenaan ciri agama ini, Rasulullah juga pernah bersabda: 


"Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: hartanya, keluarganya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, jika tidak kamu akan rugi". 
 [Shahih al-Bukhari, no: 4700]



2. Cantik.

Islam juga mementingkan ciri kecantikan kepada seorang isteri, Rasulullah pernah bersabda:

"Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan".  
[Shahnin Muslim, no 131]

Kecantikan begitu penting sehingga Rasulullah menganjurkan seorang lelaki untuk melihat wanita pilihannya sebelum melamar atau meminang. Baginda bersabda :

"Apabila salah seorang dari kalian melamar wanita, maka selagi dia boleh melihat apa yang dapat mendorongnya untuk menikahinya, maka lakukanlah ia". 
[Shahnin Sunan Abu Daud, no 2082]

Maksud kecantikan di sini adalah apa yang asli atau tulen, bukan kecantikan palsu umpama penggunaan alat solek, dan bukan juga hasil dari kecantikan yang menelan belanja yang tinggi seeperti pembedahan plastik, mahupun dandanan rambut dan bukan juga seorang wanita itu menggunakan atau mengenakan pakaian yang indah.



3. Menyenangkan Suami.

Rasulullah pernah ditanya tentang ciri-ciri isteri yang baik. Baginda menjawab:

" Wanita yang membahagiakan (suami) jika dipandang, mentaatinya jika diperintahkan dan tidakmenyelisihi berkenaan dirinya dan hartanya dengan apa yang tidak disukai oleh suami". [Shahih Sunan al-Nasa'e, no:3231]

Ciri seorang isteri ialah dia memberikan ketenangan, kegembiraan dan kebahagiaan apabila sahaja suami melihatnya. Jika suami menyuruh dia melakukan sesuatu, dia akan melakukannya sekadar yang mampu dengan syarat suruhan tersebut selari dengan syariat Islam. Jika perkara tersebut bertentangan, maka isteri tidak perlu taat dengan suruhan tersebut. Namun perkara itu perlulah diadakan perbincangan dengan suami kerana perkara tersebut tidak diketahui oleh suami.

Selain itu isteri tidak akan menyelisihi, apatah lagi bertengkar atau memarahi, jika apa yang disukainya dibenci pula oleh suami. Ertinya, isteri berusaha untuk menyelaraskan kesukaannya dengan citarasa suami. Inilah yang dinamakan sehati, sejiwa.


Di sini mungkin ada yang bertanya, bahawa kenapa isteri mesti bersikap sehingga ke tahap demikian kepada suaminya? Apakah isteri tidak boleh bermuka muram, enggan taat dan memiliki pilihan tersendiri? Terhadap persoalan seperti ini atau yang seumpama, para isteri hendaklah sedar bahawa semua kebaikan yang dilakukan kepada suaminya, ia adalah ibadah kepada Allah. Dalam erti kata lain, suami merupakan sarana atau jalan untuk isteri beribadah kepada Allah. Perlu diingatkan bahawa ibadah bukan sahaja solat, puasa dan zikir, tetapi berbuat baik kepada suami sebagaimana dalam hadis di atas.


4. Pandai Mendidik Anak-Anak

Tanggungjawab suami ialah di luar rumah mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Tanggungjawab isteri pula di dalam rumah mendidik anak-anak dan menjaga rumah. Maka atas dasar pembahagian tugas seperti ini,


Rasulullah bersabda: 

Sebaik-baik wanita Quraisy adalah yang paling lembut dan simpati pada anak pada masa kecilnya dan paling boleh menjaga harta suaminya.” 
[Shahih al-Bukhari, no: 4692]


Mungkin ada pula yang bertanya, bahawa isteri juga bekerja di luar rumah. Maka kenapa mereka dipertanggungjawabkan untuk urusan anak-anak dan penjagaan rumah? Jawapannya, pekerjaan di luar rumah tidak diwajibkan oleh Islam ke atas isteri. Jika isteri bekerja di luar rumah, maka ia adalah tanggungjawab tambahan yang dipilih oleh isteri itu sendiri. Jika isteri beralasan perlu mencari sumber kewangan tambahan untuk seisi keluarga, maka perlu ditanya kembali: “Apakah manusia pernah berkecukupan dalam urusan kewangan?”



Calon? Dia Kah Orangnye?


Tidak silap aku, aku pernah postkan topik ini pada sebelum ini, mungkin daya ingatan aku telah kurang. Mengapa aku tertarik pada topik ini, kerana, yang pertama, pada post yang lepas aku telah menyatakan bahawa keinginan aku untuk berkahwin. Kedua, Ada seorang budak perempuan ini, sukakan aku, tetapi aku hanya menganggapnya sebagai seorang rakan sahaja. Dan ciri-ciri yang ada pada dia bukanlah ciri-ciri yang aku mahukan untuk menjadi seorang calon isteri bagi aku.

Jika kau terbaca post aku ini, aku minta maaf ya. Sebenarnya ada beberapa perkara pada dia yang membuatkan aku tidak senang, dan aku tidak letakkan dia sebagai seorang yang tersenarai dalam calon-calon aku. Sebagai manusia dan lebih-lebih lagi aku ini seorang lelaki, aku juga mempunyai senarai-senarai yang aku ingin ada pada bakal isteri aku. Seperti yang kita tahu, bukan semua yang ingin kita inginkan itu boleh kita miliki.


Apa yang aku inginkan pada bakal isteri aku? 


1. Cantik.

Lelaki mana yang tidak inginkan bakal isteri dia seorang wanita yang cantik. Rata-rata inginkannya dan ini juga menjadi perkara utama dalam memilih pasangan hidup mereka. Mungkin bagi aku pula, aku memilih cantik kerana sampai tua aku akan memandang pada dia, adalah menjadi perkara utama bagi aku adalah wajah isteri aku itu dapat menyejukkan hati aku dikala aku gelisah atau mengalami tekanan. Tetapi tidaklah aku mengahrap sepenuhnya tentang perkara ini, kerana aku bukanlah manusia sempurna.


2. Bijak.

Bijak atau mempunyai pendidikan, mengapa aku pentingkan perkara ini, kerana bukan tanggungjawab aku seorang yang akan mendidik anak aku kelak, kerana aku perlukan seorang isteri yang dapat membantu aku dalam mendidik anak aku kelak agar menjadi seorang yang berguna, pada aku satu hari nanti. Dan dengan kebijaksanaan yang ada, aku mengharapka agar dia dapat menguruskan rumah tangga dan dapat menangani segala kesulitan kelak.


3. Lemah Lembut/ manja.

Wah, best kalau dapat orang yang macam ini. Bukan lembik yer, yang lembik aku tidak minat. Satu kelemahan aku adalah apabila ada orang yang manja dengan aku, "bestnyer......" aku memang akan cair, tapi bukan "GEDIK" kalau gedik memang makan terajang aku jer, "HAHAHAHAHA........". 



4. Orangnya Tinggi.

Selain mempunyai wajah yang cantik, aku juga menyukai yang tinggi, bukan melepasi aku, Aku tidak pasti mengapa, sememangnya aku tidak minat orang yang terlalu rendah. Mungkin bagi aku ada nilai romantiknya di situ, (lain orang lain ragam) "hahaha......".


5. Berdikari.

Yang ini, memang aku perlukan sangat ada pada bakal isteri aku. Mengapa? Dalam menjalani hari-hari, aku tidak tahu apa yang akan jadi pada aku dan bagaimana perjalanan hidup aku, Aku perlukan dia bijak dalam menguruskan hari-hari beliau jika aku tidak punya kesempatan dan boleh menjalani kehidupan. Bermaksud, tidak mengharapkan aku sepenuhnya, mungkin aku perlu pergi kursus atau sebagainya, boleh pula aku berfikiran demikian, 


6. Pandai Ambil Hati.

Perkara ini labih penting dari segalanya....... bukan pandai merajuk tau..

Ada beberapa perkara lain yang aku inginkan tetapi perkara itu mungkin bagi aku sebagai bonus, contohnya, pandai masak, menjahit atau sebagainya. Dalam zaman ini, perkara itu tidak aku harapkan sangat.

Tetapi untuk pengetahuan semua, mungkin ada yang telah sedia maklum bahawa dalam Islam juga ada panduan dalam memilih calon isteri. klik sini

Telah mencecah 30 tahun aku sekarang ini. terlalu cerewet. hehehehe.... 

"Ya Allah, Kau temukanlah bloger ini dengan calon yang terbaik" 

"Doakan aku yer', 

Terima Kasih.

Monday, March 5, 2012

Tempat Menarik Di Segamat.

Segamat merupakan salah satu Daerah yang terdapat di dalam Negeri Johor. Di Daerah ini juga terdapat beberapa tempat menarik yang boleh dilawati sebagai tempat untuk melepaskan tekanan selepas bekerja atau sebagai tempat untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Antara tempat-tempat berikut adalah:

1. Air Terjun Sungai Bantang, Bekok.

Air terjun ini merupakan tempat yang selalu aku pergi apabila mempunyai kelapangan, aku rasa dalam post yang sebelum ini aku pernah meletakkan beberapa post tentangnya. Menjadi pilihan utama aku untuk pergi kerana lokasinya hanya mengambil masa 45 minit dari rumah aku, dan tempat keluarga aku menghabiskan masa bersama.

Di sini aku bercerita sedikit tentang tempat atau air terjun tersebut, Hutan lipur ini mula ditubuhkan atau mula diperkenalkan sekitar tahun 1989 dan telah dimajukan pada tahun 1990. Kawasan ini terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Labis dan berada di Kompartmen 17 seluas 210.93ha dan Kompartmen 18 seluas 156.28ha. Jarak antara Air Terjun Sungai bantang dengan bandar Segamat lebih kurang 64 kilometer, dan 8 kilometer dari Pekan Bekok, dan mempunyai tema sendiri iaitu "Destinasi Rekreasi Luar Anda" telah diperkenalkan oleh Jabatan Hutan Daerah Segamat bagi tujuan perkhemahan dan perkelahan.

Pihak berwajib juga telah menyediakan kemudahan-kemudahan untuk pengunjung seperti tempat meletak kenderaan, tempat riadah, tandas awam, surau, tempat persalinan dan sebagainya. Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti perkhemahan pula, ada beberapa tapak perkhemahan disediakan disekitar kawasan hutan lipur ini.


2. Takah Merluh Kg Tenang, Labis, Segamat.

Perkataan Takah Merluh ini berasal dari bahasa orang asli yang membawa maksud yang berasingan setiap satunya. Takah bermaksud bekas air dan Merluh pula bermaksud tertidur. Mengikut kata-kata orang setempat di situ, sejarah air terjun ini bermula dengan penemuan oleh beberapa orang asli yang berbentuk seperti takah (bekas air), di sebabkan suasana di kawasan itu sungguh nyaman, mereka mengambil keputusan untuk berehat seketika dan tanpa disedari mereka tertidur, atas sebab tersebut, mereka menamakan air terjun tersebut sebagai Air Terjun Takah Merluh.

Kawasan air terjun ini terbuka untuk semua tanpa dikenakan bayaran masuk dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan. Setiap tahun pasti akan diadakan aktiviti perkelahan peringkat daerah dan luar daerah.

Kemudahan-kemudahan juga telah disediakan oleh pihak berwajib seperti tandas, bilik persalinan, pondok rehat, pondok solat, tapak perkhemahan dan tapak meletak kenderaan. Jarak antara lokasi ini dengan Pekan Labis adalah sejauh 17 kilomter sahaja, dan kawasan ini juga telah dirizabkan sebagai kawasan Hutan Simpan Labis.


Hutan Lipur Takah Merluh ini merupakan hutan jenis Hutan Dipterokarp Bukit yang mempunyai pelbagai Flora dan fauna. Tarikan utama hutan lipur ini adalah keunikan air terjunnya yang mempunyai terjunan air yang bertingkat dan tebing yang agak tiggi. Flora dan faunanya pula belum lagi diterokai dan kekal dengan keasliannya menggamit untuk dikaji dan dan dikenali sebagai khazanah alam yang tinggi nilainya.. Di sini pengunjung boleh bersiar-siar serta melihat hidupan liar yang terdapat di kawasan ini.


Untuk sampai ke kawasan ini, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau menaiki teksi dari Pekan Air Panas melalui Kampung Tenang. 


Aktiviti utama yang boleh dilakukan di hutan lipur ini adalah menjejak fauna dan menikmati keindahan alam semulajadi.


3. Pusat Rekriasi Kolam Air Panas.

Sebelum tiba ke Hutan Lipur Air Terjun Takah Merluh, pasti kita akan lewati satu lagi tarikan di Segamat, iaitu Pusat Rekriasi Kolam Air Panas. Terletak di Pekan Air Panas yang diambil nama semperna kolam air panas tersebut. Terletak kira-kira 14 kilometer dari Pekan Labis.

Terdapat beberapa kemudahan yang telah disediakan seperti kolam mandi, taman permainan, wakaf, surau, tempat meletak kenderaan dan dikenakan bayaran untuk masuk ke kawasan ini.

Permainan Tradisi Orang Melayu.

Masyarakat Melayu tidak kurang dengan permainan tradisionalnya, dan permainan tersebut diturunkan dari dahulu lagi, dan sekarang ini mungkin banyak yang telah dilupakan kerana pelbagai permainan moden yang dibawa masuk ke Negara ini. Mungkin kanak-kanak pula lebih gemar berada di rumah sahaja bermain di rumah contohnya seperti playstation, internet dan pelbagai lagi permainan.


Tidak mengapa, di sini aku telah membaca beberapa blog tentang perkara ini, dan aku ingin konsikan bersama untuk pengetahuan umum, dan juga menambahkan lagi pengetahuan am aku sebagai salah seorang masyarakat Melayu.

Biasanya permainan-permainan tradisi atau sukan rakyat termasuk kategori folk games ini diadakan sekadar untuk mengisi masa lapang, biasanya dilakukan pada petang hari setelah mereka selesai melakukan kerja seharian. Permainan ini bukan sahaja berfungsi sebagai alat hiburan tetapi mempunyai peranan dalam aktiviti sosial untuk menyerikan majlis-majlis keramaian, perkahwinan dan sebagainya. Selain itu juga, ia boleh mengikat tali tali sillaturrahim antara penduduk dan hubungan mereka lebih rapat lagi. Selain itu juga, permainan ini juga digunakan sebagai satu cara untuk melepaskan emosi dan ketegangan dalam diri.



Di dalam kebudayaan orang Melayu, terdapat dua jenis permainan, iaitu permainan orang dewasa dan permainan kanak-kanak. Permainan yang biasa dimainkan oleh kanak-kanak biasanya seperti
  • main telaga buruk,
  • guli-guli,
  • main galah panjang,
  • kapal terbang,
  • cina buta, ketup, 
  • sembunyi dan lain-lain.


Manakala permainan orang dewasa pula biasanya seperti,


  • permainan wau,
  • sepak raga, 
  • gasing, 
  • menyabung ayam,
  • laga buah keras, 
  • congkak, 
  • berlaga kerbau dan lain-lain.
 Aku akan terangkan secara lebih terperinci dalam post-post yang akan datang.Mungkin terdapat kekurangan di dalam penerangan aku, dan sekiranya ingin memberikan pendapat dan tambahan sila emailkan ke faizal_157@yahoo.com.sg atau boleh tinggalkan di dalam ruang comment. Terima Kasih.

Thursday, March 1, 2012

Post.. Post.. Post.. Apa Yang Ingin Aku Post Kan?


Sebenarnya aku menulis blog ini hanyalah sekadar memenuhi masa lapang aku sahaja, dan juga aku jadikannya sebagai hobi sahaja. Pernah juga aku terdengar bahawa dengan menulis  blog ini kita juga boleh mendapatkan pendapatan. Ada juga yang menjadikan penulisan blog ini sebagai mata pencarian utama mereka. Bukan mudah bagi aku ingin menggunakan blog ini sebagai mata pencarian utama, kerana aku bukanlah seorang yang pandai bermadah mahupun bukan seorang penulis yang baik. Kerana background aku adalah dalam bahagian kejuruteraan. Jika ingin menulis blog dalam bidang tersebut, aku juga bukan seorang yang punya pengetahuan yang tinggi dalam bidang yang aku ceburi ini.

Pada hakikatnya aku punya perasaan cemburu terhadap blog orang lain yang mampu menarik pengunjung yang ramai kadang-kadang punya ratusan pengunjung. Puas aku fikirkan apakah cara yang terbaik, pernah juga aku kunjungi beberapa blog yang memberikan panduan bagaimana ingin meningkatkan kunjungan dari pembaca atau pelayar internet. Tapi perkara tersebut seperti agak sukar juga ingin dilakukan. Tetapi bak pepatah melayu pernah mengatakan "Hendak Seribu Daya". Aku cuba perbaiki kekurangan di dalam blog aku ini.


Dalam aku melayari beberapa blog, dapat aku simpulkan apakah bahan-bahan yang perlu aku letakkan agar ramai pengunjung datang melawat  blog aku ini. Tetapi jika difikirkan tentang undang-undang pula menjadikan perkara yang aku lakukan itu satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Terdapat juga blog yang terlalu memberikan pendapat yang secara terbuka tanpa memikirkan sensitiviti orang lain, walaupun bebas mengemukakan pendapat tetapi harus juga menjaga sensitiviti itu agar tidak terjadinya sesuatu yang buruk dan akan memudaratkan negara.

Kerana, ada beberapa blog yang aku baca, secara terang-terangan meluahkan perkara yang sememangnya terlalu menyentuh dan boleh meningkatkan tahap kemarahan kepada orang lain. Dan aku juga terasa ingin marah juga apabila aku membacanya. Mungkin pada awal penulisan aku dahulu, terdapat beberapa post  aku yang terlalu mengikut perasaan aku, dan aku secara terang-terangan post kan perkara yang tidak seharusnya aku letakkan di sini. Dan sekarang aku sedari bahawa dengan meletakkan perkara yang agak peribadi boleh membahayakan diri aku sendiri menyebabkan aku lebih berhati-hati dalam memaparkan cerita-cerita yang aku ingin letakkan.


 Walaupun aku tidak punya ramai pengunjung, tetapi aku sedari bahawa aku punya pengunjung tetap yang sentiasa mengunjungi blog aku ini. Terima Kasih atas kunjungan anda. Aku harapkan, ada pengunjung-pengunjung yang memberikan comment  yang mungkin aku boleh gunakan untuk mempertingkatkan lagi kualiti penulisan aku ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...