sepupu aku idham dan hafiz |
ima dan suami juga hamid |
anak angkat ayah n mak aku |
Puan Hasnah Omar |
keluarga Faridah |
from Singapore Aishah |
asmahani dan azrul |
sepupu aku idham dan hafiz |
ima dan suami juga hamid |
anak angkat ayah n mak aku |
Puan Hasnah Omar |
keluarga Faridah |
from Singapore Aishah |
asmahani dan azrul |
Segamat merupakan daerah paling utara yang terletak di negeri Johor. Ia bersempadan dengan dua negeri lain iaitu Negeri Sembilan di utara dan Pahang di timur.
Keluasan Segamat ialah 2,825.4 km2. Nama Segamat dipercayai berasal daripada gabungan dua perkataan Melayu berikut - Segar-Amat. (Lihat pautan luar - Sejarah Segamat).
Terletak di antaraKuala Lumpur, Johor Bahru dan Singapura, Segamat merupakan daerah dimana sektor pertanian berkembang dengan pesat seperti kelapa sawit dan getah yang kebanyakannya ditanam di estet-estet dan di tanah rancangan Felda serta Felcra. Segamat terkenal dengan buah-buahan terutamanya durian. Sebagai tarikan pelancong, slogan baru telah diperkenalkan iaitu 'Selamat Datang ke Segamat – Tanah Raja Buah-buahan'.
Setelah pembentukan Daerah Segamat, kerajaan mula membangunkan Segamat terutamanya dengan aktiviti pertanian bagi memacu ekonomi Segamat. Ia termasuklah pembinaan Sistem Kereta api Kebangsaan yang melalui bandar Segamat.Stesen KTM Segamat memberi perkhidmatan kereta api bagi daerah Segamat, Ledang dan Muar Johor serta pembinaan jalan utama yang dikenali sebagai Laluan Persekutuan.
Pada tahun 1970-an, Lebuhraya Tun Razak telah dibina bagi memacu ekonomi Segamat sebagai hab pertanian, memendekkan perjalanan ke Kuantan serta untuk menyegerakan proses pembangunan di kawasan mundur di selatan Pahang.
Kampus cawangan Johor bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah dibina di Jementah pada penghujung 1980-an dan mula beroperasi pada tahun 1991. Pembinaan kampus UiTM di daerah Segamat menjadikan Segamat sebagai satu lagi hab pendidikan utama di Johor selain Skudai yang menempatkan Universiti Teknologi Malaysia.
Pada tahun 1996,Pelabuhan Darat Segamat dibina bagi menjadikan Segamat satu lagi hab pengangkutan utama, sebagai mana Nilai di Negeri Sembilan. Dengan pembinaan pelabuhan darat tersebut, pengilang hanya perlu menghantar barang ke Pelabuhan Darat Segamat dan kemudian barang tersebut akan dihantar ke pelabuhan terdekat seperti Pasir Gudang melalui Kereta api dan ini boleh meningkatkan kecekapan pengangkutan.
Pada tahun 1999, jambatan kedua Segamat, dibiayai terutamanya oleh pemaju swasta telah dibina bagi mengurangkan kesesakan di jambatan utama. Jambatan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian pakej Jalan Lingkaran Dalam Segamat yang terdiri daripada kerja naik taraf kepada jalan 4 lorong di Jalan Pemuda, Jalan Hassan, Jalan Pee Kang Hai dan Jalan Chia Chin Koon, siap pada Ogos 2005.Jalan Lingkaran dalam tersebut amat berguna bagi mengalihkan aliran lalu lintas apabila jalan-jalan utama di pusat bandar ditutup bagi upacara khas seperti Hari Kebangsaan.
Daerah Segamat dibahagikan kepada 11 mukim. Setiap mukim ditadbir oleh Penghulu atau Ketua Kampung mewakili Pegawai Daerah untuk tugas harian. Mukim-mukim di Segamat adalah seperti berikut:-
Mukim Sungai Segamat merupakan penempatan yang padat kerana kebanyakan penempatan dibina berdekatan bandar. Populasi penduduk yang padat di Segamat adalah di Mukim Gemereh diikuti Mukim Sungai Segamat dengan lebih 200 penduduk per km2. Mukim Bekok merupakan mukim paling sedikit penduduk dengan 50 penduduk per km2.
Daerah Segamat dibahagikan kepada 2 daerah pentadbiran iaitu Majlis Daerah Segamat (di pusat bandar segamat sebelum ini dikenali sebagai Majlis Daerah Segamat Utara) dan Majlis Daerah Labis di pekan Labis dahulu dikenali sebagai Majlis Daerah Segamat Selatan.
Johor tempat kelahiran aku ini juga tidak kurang dengan budayanya, contoh post yang sebelum ini seperti ghazal dan kuda kepang. Satu lagi tarian yang cukup terkenal dan menjadi lambang budaya Negeri Johor adalah Tarian Zapin.
Mengikut apa yang telah aku baca sebelum ini, Tarian Zapin ini berkembang di negara ini, dan hingga sekarang masih diteruskan di Johor. Tetapi tarian ini telah diubah mengikut kekreativiti kumpulan tarian tersebut, walaupun begitu tarian yang asal tetap dikekalkan hanya ditambah mengikut kesesuaian.Namun demikian banyak antara genre zapin tradisional ini tersebar hanya ke daerah-daerah tertentu sahaja dan salah satu daripada genre zapin tradisional yang dinamik dan anggun dikatakan masih terdapat di negeri Johor.
Terdapat dua jenis Zapin yang ada di Negeri Johor ini, iaitu Zapin Melayu dan Zapin Arab yang boleh dilihat perbezaannya dari segi unsur peradaptasiannya. Sebenarnya kedua-dua jenis tarian ini berasal dari satu kesenian masyarakat Arab yang dibawa Hadramaut. Keunikan tradisi Zapin Melayu terletak bukan sahaja pada kesatuan muzik dan peralatannya yang dipengaruhi oleh keseniaan Arab bahkan juga pada sifat segretasi penari dan penonton. Dalam konteks inilah keunikan tarian zapin begitu terserlah terutamanya pada ciri penghubungannya dengan keseniaan Islam yang dibawa oleh orang-orang Arab.
Di Johor Tarian Zapin yang sudah diterima sebagai seni yang berunsur Islam yang berfungsi sebagai hiburan sama ada pada acara-acara sekular mahupun acara sambutan hari-hari kebesaran. Namun dari segi kelembutan dan kehalusan tradisi tarian itu sendiri, Zapin Melayu Johor walaupun ianya lahir dari adaptasi yang dilakukan ke atas Zapin Arab secara selektif namun tidak dapat disangkal lagi tarian zapin ini memperlihatkan lebih kehalusan dan keayuan geraknya dari Tarian Zapin Arab.
Satu hal yang menarik mengenai tarian Zapin Johor ialah keupayaan mewujudkan rasa persaudaraan penari dan pemuzik serta sifat esprik decorps yang dapat dimunculkan di kalangan mereka sekali gus mematahkan rasa malu penari-penari apabila menari di khalayak ramai. Secara simbolik gerak tari zapin ini menampakkan kepentingan usaha bersama dan bukannya usaha individu disamping meminggirkan persaingan antara pemain-pemain dalam kumpulan mahupun antara kumpulan, Ditinjau dari perspektif inilah, keunikan dan keistimewaan tarian Zapin Johor terserlah.
Pada akhir abad ke-19, apabila kerajaan Johor menjalin hubungan yang erat dengan kerajaan Riau-Lingga, beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang-alik ke Riau. Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada di antara mereka itu telah mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor yang pada ketika itu berada di Teluk Belanga,Singapura. Di Istana Teluk Belanga, kesenian muzik ghazal ini telah mendapat perhatian daripada sultan, pembesar-pembesar negeri dan lain-lain golongan istana. Justeru itu, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat. Apabila pentadbiran Johor berpindah dari Teluk Belanga ke Tanjung Puteri, kesenian ini turut diperkembangkan dengan lebih pesat lagi di Tanah Besar Johor.
Perkembangan seni muzik ghazal di Negeri Johor sering dikaitkan dengan nama Allhayarham Datuk Bentara Luar, Mohd. Salleh Bin Perang. Semasa membuka daerah-daerah baru di Johor, Datuk Bentara turut juga memperkenalkan seni ghazal dimainkan di rumah-rumah penghulu dan juga pada hari-hari keramaian tertentu.Selain daripada Allahyarham Datuk Bentara Luar, ramai lagi pembesar istana yang turut menyumbangkan tenaga dalam memperkenalkan kesenian muzik ini. Di antaranya ialah Ungku Ahmad Bin Mohd. Khalid (Ungku Chik), Ungku Mohammed Bin Mohd. Khalid , Ungku Sulaimen Bin Daud, Ungku Abdul Aziz Bin Abdul Majid dan Encik Dapat.
Di tengah-tengah arus perkembangan seni muzik ghazal di Johor pada ketika itu muncullah Haji Musa Bin Yusof atau lebih di kenali dengan panggilan Pak Lomak. Pak Lomak adalah cucu kepada Datuk Bentara Luar. Sebagai seorang anak yang lahir di tengah-tengah keluarga mencintai seni ghazal, Pak Lomak tidak dapat memisahkan dirinya daripada seni ini. Beliau telah mempelajari seni muzik ghazal ini dengan begitu mendalam sekali. Ditinjau daripada sudut sejarah perkembangan seni muzik ghazal di Johor dari tarikh perkembangannya bermula dari tempat asalnya di Tanah Arab hingga ke zaman Pak Lomak, perkembangan seni muzik ini telah melalui satu penjelajah yang agak panjang dan mengambil masa yang lama.
Peralatan muzik ghazal pada mula-mulanya terdiri daripada Peti Harmonium, Biola, Gambus dan Tabla atau Do(Gendang). Kemudian alat-alat ini ditambah lagi dengan beberapa jenis alat muzik yang sesuai seperti gitar, kecepi Jepun, Keroncong dan Marakas. Setelah itu dicampurkan dengan alat muzik yang lain seperti ukeleli dan sebagainya tetapi oleh kerana terlampau riuh dan mengganggu serta boleh menghilangkan silau dan lemah lembut lagu-lagu Melayu maka alat-alat itu dibatalkan. Hanya alat-alat yang dinyatakan di bawah ini sahaja di gunakan sebagai Muzik Ghazal Melayu Johor yang tradisional iaitu:-
Kuda kepang merupakan satu permainan tradisi yang amat digemari oleh penduduk Johor, terutamanya yang berketurunan Jawa. Kuda kepang berupa satu patung anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang dicorakwarnakan untuk menjadi lebih menarik.
Lazimnya satu kumpulan kuda kepang mempunyai 10 hingga 15 orang penari. Salah seorang daripada mereka bertindak sebagai ketua (dayang). Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Terdapat berbagai pendapat mengenai asal usul tarian ini.
Ada pendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Dalam peralihan waktu, kuda-kuda itu ditukar dengan kulit binatang atau buluh bagi menggantikan kuda sebenar.Ada pula yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang.
Pendapat lain pula menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. Seekor kuda kayangan bernama Kuda Sembrani dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa mereka menari-nari keseronokan. Menurut kepercayaan, kuda kepang dikuasai oleh sejenis kuasa ghaib. Lantaran itu, satu upacara khas perlu dilakukan sebelum bermain. Jika ia gagal dilakukan mungkin sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya. Upacara ini bermula dengan istiadat memuja roh. Setelah itu bomoh akan menjampi untuk istiadat membuka gelanggang yang biasanya berukuran 40m x 60m.
Bomoh juga akan menyediakan sajian untuk penunggu. Sajian itu ialah kelapa, beras, pisang masak, kemenyan, kain putih, jarum, benang, ayam putih, padi, telur dan bunga rampai. Bilangan minima penari ialah sembilan orang dan maksimanya 15 orang. Penari-penari ini biasanya terdiri daripada kaum lelaki sahaja. Tarian dicipta oleh guru yang mengajar kumpulan itu sendiri. Tarian-tarian yang selalu dipersembahkan ialah tarian Sola, Selendang,Pak Tani, Pucuk Rebung, Perjuangan, Mempertahankan Diri dan sebagainya. Lenggang-lenggok di dalam tarian ini dinamakan Lenggang Kiprah.
Satu perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana seringnya terdapat beberapa orang penari akan naik syeikh (mabuk) setelah persembahan rasmi tamat. Mereka yang “naik syeikh” ini boleh melakukan gerak geri aneh yang pasti tidak dapat dilakukan dalam keadaan siuman. Umpamanya, melompat setinggi enam atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas tali, juga mengupas kelapa dengan gigi. Semasa penari-penari sedang “naik syeikh” , bunyi-bunyian pengiring penari akan terus dimainkan. Jikalau tidak mereka naik berang dan menerkam pemain-pemain bunyi-bunyian tersebut.
Apabila gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, bomoh akan membaca mentera ke ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih lesu. Adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan, tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.
Dipercayai juga bahawa kuda kepang ini hendaklah diletakkan disuatu tempat khusus.Jika diletakkan di sembarangan tempat roh kuda kepang itu akan mengamuk dan merosakkan pertunjukan-pertunjukan yang akan datang. Alat bunyi-bunyian yang sering mengiringi tarian kuda kepang ialah angklong (alat utama), gendang, gong ( berbentuk bulat dan diperbuat dari gangsa), kinong (seperti gong tetapi lebih kecil), jidor ( seperti rebana besar), soron kecil (dibuat dari tembaga yang dititik supaya melengkung dan lekuk seperti ruas buluh) dan bonang (dibuat dari tembaga,ditengahnya bonjol bulat kira-kira lapan garis pusat). Bagaimanapun tidak semua alat ini digunakan dalam satu-satu tarian. Pemilihannya terletak kepada budi bicara kumpulan-kumpulan berkenaan .Bentuk pakaiannya pula terserah kepada kehendak kumpulan tetapi ia hendaklah seragam.
Dari segi sejarahnya, baju ini mula dipakai pada zaman pemerintahan Sultan Johor, iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar yang bersemayam di Teluk Belanga, Singapura pada sekitar tahun 1800-an. Justeru itulah ia dipanggil Baju Kurung Teluk Belanga dan ia juga merupakan pakaian kebangsaan orang Melayu Johor. Sejak itu pemakaian baju ini telah berkembang ke negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan rakyat Malaysia dan banyak dipakai dalam majlis-majlis rasmi. Baju Kurung Teluk Belanga adalah labuh, dan potongannya longgar kerana dirusuknya berpesak dan di bawah lengannya pula diletakkan kekek. Potongan lehernya bulat dan berbelah di depan. Pada sekeliling tebukan lubang leher itu, jahitan tulang belut digunakan bagi mengemas dan memperkukuhkan lagi leher baju tersebut. Baju kurung teluk belanga yang dipakai oleh kaum lelaki dan wanita pada dasarnya adalah sama kecuali;
Pada masa dahulu, wanita Johor memadankan baju kurung dengan kain dagang luar, iaitu sehelai kain sarung yang pada asalnya digunakan sebagai kain kelubung untuk menudung kepala dan berlindung dari cahaya matahari apabila keluar berjalan. Kain dagang luar ini dikenakan di pinggang seperti kain samping lelaki dengan ombak-ombaknya di bawa ke rusuk kiri dan disaukkan pada lengan atau dipegang dengan tangan. Kain mantul, iaitu sehelai selendang pendek yang bertekat dengan kelingkan emas biasanya akan disangkutkan ke bahu apabila si pemakai mengenakan baju kurung dengan kain dagang luar ini. Walaubagaimanapun, baju kurung pada hari ini tidak lagi dipakai dengan kain-kain tradisional sebegini yang lazimnya hanya digunakan oleh masyarakat Melayu zaman dahulu.