Selasa, 4 Oktober 2011

Jalur Gemilang.



Bendera Malaysia dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah, tanda keanggotaan yang sama dalam persekutuan 13 buah negeri dan 1 kerajaan persekutuan :
  1. Johor,
  2. Kedah,
  3. Kelantan,
  4. Melaka, 
  5. Negeri Sembilan,
  6. Pahang, 
  7. Pulau Pinang,
  8. Perak,
  9. Perlis,
  10. Sabah, 
  11. Serawak,
  12. Selangor, 
  13. Terengganu dan,
  14. Kerajaan Persekutuan.
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam yang merupakan agama rasmi bagi Malaysia

Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Sejarah rekabentuk Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baru.

Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu. Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29 November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.

JALUR GEMILANG yang dilihat sekarang sebenarnya wujud beberapa tahun sebelum negara merdeka. Sejarah sepintas lalu, merekodkan Bendera Persekutuan Tanah Melayu diilhamkan menerusi satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan. Pertandingan dikelolakan Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Sir Alec Newboult dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.

Pada 15 November 1949, Jawatankuasa ini mengemukakan 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Daripada jumlah itu, tiga rekaan disenarai pendekkan membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima manakala rekaan kedua mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.

Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed Hamzah yang menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.


Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI. Sebelum kekal dengan rekaan sekarang, beberapa pindaan dibuat termasuk mengikut cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih bulan sabit ditukar kuning bagi mewakili warna Diraja.

Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi perkenan Majlis Raja-raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan Pemangku Ketua Setiausaha Negara mengenai Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu, bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira penambahan negeri-negeri tersebut.

Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Selama 47 tahun digelar Bendera Malaysia, pada kemerdekaan ke-40 pada 1997, namanya ditukar kepada Jalur Gemilang. Nama diusulkan pegawai dari Jabatan Muzium Negara dan Antikuiti, Redzuan Tamin dalam satu peraduan membabitkan pihak tertentu ini berjaya menewaskan 28 cadangan antaranya, Malaysia Raya, N.U.S.A, Mega Sakti, Saga Merah dan sebagainya.





Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan Jalur Sinar Gemilang.

Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

JALUR - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG - bermaksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekali pun sama ada di dalam atau di luar negara. Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.



Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.



Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum ini dikenali sebagai Masjid Besi merupakan sebuah masjid yang terletak di Presint 3, Putrajaya, Malaysia. Kerja pembinaan bermula pada April 2004 dan siap sepenuhnya pada Ogos 2009 dan dibuka pada hari Jumaat, malam Awal Ramadan 1430H. Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24,000 penduduk dan penjawat kerajaan sekitar pusat bandar serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara, bakal menjadi mercu tanda baru Putrajaya.

Masjid ini direka berdasarkan 3 konsep iaitu angin, sederhana dan telus. Kira-kira 6,000 tan keluli digunakan bagi pembinaan tersebut yang mewakili kira-kira 70% manakala selebihnya adalah konkrit.


Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk (gas district cooling atau GDC). Selain itu, masjid ini turut menggunakan Seni Bina Jaringan Wayar (Architectual Wire Mesh) atau Anyaman Masyrabiah yang diimport dari Jerman dan China (turut dipasang pada Stadium Bernabeu di Madrid dan perpustakaan negara Perancis yang dikenali Bibliotheque Nationale De France yang terletak di Paris). Pintu gerbang masuk juga menggunakan konkrit bertulang kaca (GRC) bagi mempertingkat integriti sesebuah struktur serta kaca hablur bagi menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh.


Perjalanan menuju ke masjid akan menyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m². Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra. Hiasan dalamannya dilatari ukiran Asma Ul Husna menggunakan tulisan Kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Israa' ayat ke-80.

Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 m juga diimport dari Jerman yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.
Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di masjid ini:
  • Ruang solat termasuk dewan utama, dewan terbuka dan dewan solat muslimat
  • Tiga unit kuaters dua tingkat tiga bilik untuk kakitangan masjid
  • 10 unit bazar atau ruang niaga di dalam kawasan masjid
  • Bilik pameran yang mampu memuatkan 250 orang
  • Dapur
  • Bilik orang kenamaan
  • Bilik penyelenggaraan
  • Bilik jenazah
  • Pejabat
  • Bilik kawalan audio visual
  • Ruang letak kereta bawah tanah






Beberapa minggu lepas aku telah membawa keluarga aku untuk menunaikan solat Zohor di masjid ini, dan telah beberapa lama aku sering dan duduk di Putrajaya tidak pernah ada kesempatan untuk aku singgah ke masjid ini, mungkin dengan jadual dan aktiviti yang padat, membuatkan aku tidak dapat melakukannya. aku selitkan beberapa keping gambar semasa aku pergi ke Masjid Besi ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...