Tuesday, May 6, 2014

Cendawan Busut



Kawan-kawan, ada kenal tak dengan tumbuhan ini, memang dari keluarga cendawan, biasanya di tempat atau di kampung aku ia dipanggil cendawan busut. Di sini saya selitkan sedikit info tentang tumbuhan ini.
 
CENDAWAN BUSUT (Termitomyces sp) merupakan sejenis cendawan dari keluarga Lyophyllaceae yang tumbuh liar dikawasan khusus pada masa-masa tertentu sahaja dan dipercayai ada kaitan dengan aktiviti oleh anai-anai. Saya memang kenal akan cendawan busut ini kerana sering makan ketika zaman remaja dulu dimana memang mudah dijumpai di kawasan kebun getah dan ladang kelapa sawit. Memang enak dan sedap cendawan busut ini yang di masak sayur tumis atau lebih lazat lagi di buat sup cendawan busut. Isinya yang lembut dan aromanya yang wangi menyebabkan cendawan busut ini menjadi hidangan istimewa pada musim cendawan ini di jumpai dari kawasan kebun. Pada masa ini setelah saya belajar mengenai kulat, saya dapati cendawan busut ini terdapat lebih dari 60 spesis diseluruh dunia dimana hanya 18 spesis sahaja yang telah dibuat kajian dan pencirian oleh saintis. Cendawan busut adalah berkait rapat dengan anai-anai dimana ianya sering tumbuh dimana ada koloni anai-anai. Jenis yang terdapat di Malaysia yang saya tahu ada dua yang boleh dimakan iaitu Termitomyces heimeii dan Termitomyces albuminosa. 

Cendawan busut hanya didapati dikawasan ladang sawit, ladang getah, dalam hutan dan kawasan belukar yang bebas dari sebarang jesan racun dan terdapat koloni anai-anai (Dari Spesis Microtermes atau Spesis Odototermes) dikawasan persekitaran tersebut. Beberapa perkara dan fakta mengenai cendawan busut yang saya faham adalah keujudannya sering berlaku  selepas hujan dalam cuaca agak lembab dan ada busut dari koloni anai-anai berdekatan. Lazim juga saya jumpa yang cendawan ini tumbuh diatas busut anai-anai atau sekitarnya dan menghasilkan bau atau aroma yang kuat. Cendawan ini tumbuh secara berkoloni atau berkelompok di suatu lokasi sahaja dan walau pun puas kita tinjau kawasan lain di kebun tidak pun akan jumpa. Selalunya semasa berjalan dibawah pokok getah untuk aktiviti menoreh getah, kalau ada cendawan busut boleh diketahui dengan bau yang kuat atau kita ternampak dengan mata sendiri. Bentuk cendawan busut adalah berbentuk 'Pilleus' iaitu ada batang dan tudung.

Pernah kita dengar ada orang sakit perut malahan ada kes membawa maut setelah mereka makan cendawan busut. Spesis-spesis ini  juga tumbuh dikawasan yang mungkin sesuai untuk cendawan busut pernah di dapati. Kalau dilihat dari segi fizikal, ianya agak serupa apa lagi kalau kita kurang ariff tentang cendawan ini, memang orang akan anggap spesis cendawan tersebut sama dengan cendawan busut tetapi hakikatnya ia adalah cendawan beracun. Saya ingin ulangi akan petua hendak pastikan bahawa yang kita tuai sebagai cendawan busut, nasihat saya berasaskan kepada  3 perkara asas yang perlu diingati iaitu baunya yang kuat, ada serangga atau ulat yang makan dan serangga tidak mati (sentiasa menghurungi) dan cendawan busut ada ciri mempunyai akar yang agak panjang kedalam tanah. 
Cendawan busut boleh di tuai dengan cara mencabut dengan tangan atau gunakan pisau tajam memotong pangkal cendawan . Kemudian dikumpulkan kedalam baldi atau bekas besen yang bersih dan buang tanah yang melekat. Ketika mencabut cendawan dari permukaan tanah buat dengan teliti dan hati-hati agar cendawan tidak patah atau perdunya tertinggal dalam tanah. Bersihkan cendawan busut dari kekotoran tanah dan basuh sehingga bersih. Potong cendawan busut tersebut mengikut urat ari dan jika bersih ianya boleh mula di masak. Pastikan jangan makan cendawan busut mentah ditakuti ada kesan beracun atau sebagainya. Saya paling suka masak sup cendawan busut atau cendawan busut masak lada hitam atau tumis dengan cili padi. Cendawan busut mengandungi antioksidan yang banyak dan baik untuk kesihatan. Enak dimakan dengan nasi panas selepas dimasak ketika perut lapar.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...