Thursday, July 8, 2010

salam, ada keluar di surat khabar yang menyatakan bahawa suhu dunia semakin panas, dan sebenarnya bumi ini semakin tidak stabil pusingan cuacanya.... di sini aku letakkan keratan akhbar apa yang berlaku di sebuah hegara tersebut:








NEW YORK: Seorang wanita berusia 92 tahun dari Philadelphia adalah antara mangsa yang maut kerana tidak tahan dengan cuaca terlalu panas yang kini melanda Amerika Syarikat.

Seorang lagi mangsa juga wanita, yang tidak mempunyai rumah, dijumpai terbaring di sebelah sebuah kereta Ahad lalu di pinggir bandar raya Detroit.


Cuaca panas menjangkau 37.7 darjah Celsius (100 darjah Fahrenheit) melanda bandar raya dari Richmond ke Boston, Providence dan Hartford, kata Perkhidmatan Kaji Cuaca Nasional.



Suhu melepasi paras rekod di New York dengan mencecah 39.4 darjah Celsius dan Philadelphia dengan 38.8 darjah Celsius.

Boleh dikatakan ia adalah antara hari paling panas dalam tempoh satu dekad bagi kebanyakan lokasi di timur laut dan kawasan pedalaman, kata jurucakap Perkhidmatan Kaji Cuaca, Sean Potter. Ia adalah sama seperti kejadian pada 2001 atau mungkin 1998.

Kawasan bandar yang banyak mengalami pembangunan dilanda lebih teruk daripada luar bandar, kerana kawasan bandar menyerap lebih banyak tenaga solar pada waktu siang dan melepaskannya dengan lebih perlahan pada waktu malam.

Pakar kaji cuaca menggelarnya gelombang panas, berikutan suhu melebihi 37.7 darjah Celsius selama lebih tiga hari berturut-turut. Bandar raya terbesar di New Jersey, Newark, mencatatkan suhu lebih tinggi iaitu 37.7 darjah Celsius bagi hari ketiga berturut-turut.
Suhu di seluruh kawasan Atlantik Tengah semalam sekali lagi mencatatkan suhu di antara 32 darjah Celsius hingga 37.7 darjah Celsius.

Persatuan Palang Merah Suffolk, di Long Island, New York, berkata ia bercadang menyumbang air minuman dalam botol kepada pekerja yang melakukan kerja buruh di atas bumbung atau di ladang.

Keadaan cuaca membara itu kelmarin juga memaksa pegawai pengangkutan memperlahankan kelajuan kereta api komuter di kawasan luar bandar di Washington dan New York kerana landasannya yang terlalu panas. Keadaan terlalu panas boleh mengakibatkan landasan menjadi bengkok kerana tekanan tinggi. Beberapa perkhidmatan kereta api di New Jersey juga dibatalkan kelmarin.

Petugas di Pusat Jagaan Haiwan Marin di Brigantine, New Jersey menggunakan bekas yang diisi dengan ketulan ais bagi membantu singa laut yang sakit atau lemah menyejukkan diri.

Di NEWARK, orang ramai mengambil peluang menyejukkan badan dalam kolam renang dan pusat penyejukan khas.

Di BEIJING, suhu yang memecah rekod melebihi 43.8 darjah Celsius adalah yang paling tinggi dicatat dalam tempoh enam dekad.

Ketika Beijing dilanda cuaca panas bagi hari ketiga kelmarin, satu amaran dikeluarkan pula mengenai ancaman suhu lebih panas dalam tempoh terdekat, menurut pentadbiran kaji cuaca China.

Cuaca panas itu melanda sebahagian besar timur laut dan selatan China, dengan kadar suhu secara purata di antara 35 darjah Celsius hingga 37.7 darjah Celsius.

Cuaca panas itu mengakibatkan enjin sebuah bas penumpang di Beijing rosak dan berlaku kebocoran minyak, dan kemudian terbakar. Tiada kecederaan dilaporkan.

Isnin lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun maut di stesen kereta api Beijing akibat cuaca panas, lapor media China.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...